Assalamualaikum wbt..
Tahukah sahabat-sahabat bahawa anak-anak kita adalah sememangnya pandai. Bukan setakat pandai, malah mereka adalah genius. Tidak kiralah samada mereka cemerlang atau tidak di dalam peperiksaan, inilah hakikat yang harus kita terima:
"Semua anak dilahirkan GENIUS"
Maha besarnya kuasa Allah swt yang telah melahirkan semua anak dengan kebijaksanaan. Ya, SEMUA….Semua anak! Tidak kiralah, mak ayah nya genius atau pun tidak, setiap anak yang lahir ke muka bumi ini, Allah swt telah anugerahkan dengan genius yang tersendiri.
Ada anak, Allah swt telah berikan dia ke-genius-an dalam membaca dan menulis. Maka, anak-anak seperti ini, jika diberikan buku dan dinilai dengan kertas peperiksaan, insyaAllah berjaya. Oleh sebab, memang genius nya terdapat dalam bidang tersebut.
Ada pula anak yang Allah swt telah berikan dia ke-genius-an dalam nombor. Maka, anak-anak seperti ini, jika disuruh jawab beratus-ratus soalan matematik sekalipun, pejam mata pun dah boleh score
Ada pula anak yang Allah swt berikan dia ke-genius-an dalam bidang yang melibatkan aktiviti fizikal, seperti sukan, mekanik dan memasak. Untuk anak seperti ini, mereka tidak boleh belajar dengan hanya membaca. Mereka akan lebih cepat belajar dengan cara melakukan sesuatu (learn by doing atau disebut sebagai hands on learning). Jika disuruh membaca mungkin mereka tak mahu, tetapi, jika disuruh bersukan, dialah nombor satu!
Maka dengan itu, menjadi tanggungjawab kita sebagai ibubapa, untuk mengenalpasti, apakah jenis genius yang ada dalam diri anak-anak kita. Kerana setiap anak dilahirkan dengan genius yang berbeza, meskipun mereka lahir daripada ibubapa yang sama.
Selepas kita dapat mengenalpasti apakah jenis genius anak kita, maka bermulalah proses pemeliharaan genius tadi dengan "mengeluarkan", "membina"dan "menjana" ke-genius-an yang telah dijadikan oleh Allah swt dalam diri anak-anak kita.
Oleh sebab, setiap genius adalah berbeza, maka proses "pemeliharaan" setiap genius juga adalah berbeza.
Anak yang genius dalam membaca dan menulis boleh belajar ber-jam-jam dengan membaca sahaja. Tetapi, bagi anak-anak yang genius secara fizikal, jika disuruh duduk membaca buku sahaja (tanpa sebarang aktiviti atau pergerakan) dia akan cepat bosan. Kerana dia bukan genius dalam bidang membaca, tetapi dia genius apabila dapat melakukan pergerakan.
Sistem penilaian sekolah kita pada hari ini hanya menghargai mereka yang genius dalam bidang membaca, menulis dan mengira. Seandainya, anak kita tidak termasuk dalam genius di bahagian ini, kita seharusnya memberikan sokongan yang padu kepada bidang geniusnya, dengan melibatkan dia dengan seberapa banyak aktiviti yang dapat membina dan menjana genius yang telah ada dalam dirinya.
Apabila anak-anak disokong untuk belajar dalam bidang yang disukainya, maka dia sendiri akan menemui genius yang ada dalam diri mereka, dan insyaAllah, mereka akan berjaya.
Adalah sangat penting untuk kita memastikan anak kita terus aktif dalam bidang yang disukainya , kerana jati diri @ self-esteem anak kita akan terus bertahan dan kuat selagi mana dia berusaha untuk memantapkan genius yang ada dalam dirinya.
Pokoknya, kita sebagai ibubapa seharusnya BERSYUKUR dengan apa sahaja bentuk genius yang Allah swt telah anugerahkan kepada anak-anak kita. Hargailah genius yang mereka ada dan gunakanlah genius tersebut untuk menggapai kejayaan di dunia dan di akhirat. InsyaAllah
Source : http://anakkusoleh.com
No comments:
Post a Comment